Wednesday, February 18, 2009

Ciri Ideal Seorang Gadis Melayu

Secara umumnya bolehlah dicatatkan bahawa gadis yang ideal pada pendapat orang Melayu ialah gadis yang cantik, pandai dalam serba-serbi, berguna, cinta pada suami dan taat beragama.

Dari segi kecantikan gadis orang Melayu ada mencirikan gadis ini dengan panjang lebar iaitu lehernya jinjang, pinggang ramping bak kerengga, kulitnya putih halus bak kapas di busar, mukanya bersinar bak rembulan, hidungnya mancung bak seludang, pipinya bak pauh dilayang, bibirnya merah bak delima merkah, mulutnya bak seulas limau, giginya putih bak mutiara, tersusun giginya bak sebaris pinang, tangannya halus lembut menawan, bahunya rincing, kakinya cantik, pehanya gebu, betisnya bak bunting padi, punggungnya besar, buah dadanya montok, senyumnya mempesona bak bidadari, rambut ikal mayang, matanya galak, suaranya merdu bak buluh perindu, lenggangnya bak itik pulang petang.

Orang Melayu lama lebih terperinci dalam memilih wanita ideal hingga kepada ciri kemaluan wanita, mungkin kerana pada masa dahulu faktor ini di anggap penting bagi kebahagiaan lelaki. Kemaluan wanita yang ideal dikatakan mempunyai kualiti 7 rasa. Oleh hal demikian gadis Melayu lama 'ada memakai', iaitu mengamalkan jampi serapah untuk mendapatkan kualiti yang disebutkan itu. Kononnya bila seorang wanita itu ada kualiti Tujuh Rasa maka 'banyak rasa dirasa, tidak sama aku seorang'.

Tetapi sekiranya seorang lelaki itu hanya memilih gadis beradasarkan ciri di atas, dia dianggap berkhayal dan hanya mementingkan keseronokan dan kecantikan yang sementara. Ada lagi ciri yang patut dilihat untuk menentukan idealnya seseorang gadis Melayu iaitu budi pekertinya.

Secara umumnya gadis Melayu yang ideal itu dikatakan bersopan santun, manis kata-katanya, lemah lembut, bila berjalan tangannya tidak dilenggangkan tapi diletakkan di sisinya, jalannya tunduk malu, bila dia senyum akan ditutupi mulutnya dengan tangan kerana malu, bila bercakap dia tidak memandang muka lelaki, bila ketawa dia ketawa sedikit sahaja, bila dia lalu dicelah orang ramai dia akan membongkokkan badan dan melorongkan tangannya, bila duduk dia akan duduk bersimpuh. Dia adalah gadis yang tidak suka bernyanyi di dapur, dia juga tidak suka duduk di muka pintu, rajin menolong ibu, pandai menjahit, suka pada adik-adik, cakapnya tidak banyak, dia bijaksana dan tidak cerewet.

Gadis ideal Melayu tidak suka keluar rumah melainkan ditemani oleh adiknya atau kakaknya atau ibunya. Dia tidak suka berjalan ke rumah jiran, atau duduk termenung di halaman di waktu petang. Setiap masa dia gunakan masa untuk hal yang berfaedah seperti menolong ibu memasak, membasuh, menyidai kain, menggosok serta melipat pakaian. Dia jugalah yang memainkan peranan membantu mengasuh adik-adiknya. Biasanya bila dia sudah gadis, peranan memasak dan menghidangkan makanan akan diberikan kepadanya. Dia taat kepada agama dan taat pula bila disuruh oleh ibubapa.

No comments:

Post a Comment